Monday 8 October 2012

Gambar Lama Majlis Perkahwinan

Sumber Foto Daripada Sdra Mohd Suradi Mohd Sahir.

Dah lama juga aku tak menulis dalam blog ini. Sekarang ini selepas Perayaan Aidilfitri 2012 banyak sungguh jemputan meraikan majlis perkahwinan. Boleh dikatakan hampir setiap minggu pada hari Sabtu dan hari Ahad memenuhi jemputan majlis perkahwinan anak anak rakan taulan, sahabat handai dan saudara mara. 

Majlis perkahwinan sekarang mengikuti peredaran zaman dan kemampuan diadakan dikawasan rumah sendiri dengan khemah pelbagai bentuk dan warna warni mengikut tema yang dirancangkan. Tak kurang juga yang berkemampuan majlis diadakan di dewan dewan dan hotel.

Dulu mana ada khemah untuk disewa.Teringat aku dizaman remaja dulu kemewahan seperti sekarang sukar didapati. Khemah orang dulu dulu dibuat daripada tiang buluh atau kayu hutan atau batang pinang. Bumbung khemah ada diperbuat daripada atap nipah atau rumbia atau kalau ramai kenalan yang bekerja sebagai pemandu lori boleh lah pinjam kanvas lori untuk bumbung khemah. Tiang tiang khemah akan dibalut kertas berwarna bagi mencantikkan khemah. Kalau yang ada class sikit bolehlah adakan khemah seperti yang digunakan macam khemah JKR zaman dulu ( ketika itu) dimana tiang nya besi dan atapnya atap zink disusun sepanjang khemah dan scallopnya dibalut kain banting bunga raya, bunga kebangsaan.

Dulu mana ada meja makan dan kerusi yang boleh disewa.Tempat duduk dan meja makan panjang diperbuat daripada buluh atau batang pinang dan papan sayung. Ada juga tempat makan khemah bersila. Lantainya di tabur rumput seperti lalang sebagai "sponge" kemudian diatas lalang tersebut dibentang tikar "roll" yang dipinjam daripada masjid atau surau berdekatan.

Dulu mana ada pelamin yang boleh disewa. Untuk memeriahkan majlis perkahwinan tuan rumah akan meminta pemuda dan pemudi membuat pelamin mengikut kreativiti mereka dengan bahan bahan yang terhad.

Dulu mana ada "catering" yang menguruskan soal makanan kepada tetamu. Atas muafakat saudara mara, jiran dan masyarakat setempat maka segala masakan akan dilakukan bergotong royong. Lapah lembu, sembelih ayam, potong memotong semuanya dilakukan berkumpulan.

Dulu mana ada set pinggan yang "special" seperti sekarang. Setiap kampung ada "syarikat" pinggan mangkuk khusus untuk kenduri kendarat. Kalau "syarikat" ini tidak ada maka ada satu biro yang akan "round" kampung pinjam pinggan pingan tersebut.

Dulu mana ada tong gas untuk memasak. Kayu api sebulan dua telah disediakan. Dulu mana ada tungku memasak daripada besi maka tebang pokok kelapa, batangnya dibuat tungku,umbutnya dijadikan menu makan penanggah.

Dulu mana plastik sama ada yang tahan panas atau tidak untuk membungkus. Daun pisang atau upih pinang akan dikumpulkan kemudian dilipat macam membuat kotak, orang jawa panggil "takir".

Dulu mana ada elekrik pada setiap rumah. Satu kumpulan penduduk akan menguruskan pinjam meminjam lampu gaslin bagi menerangi majlis tuan rumah pada sebelah malam.

Dulu mana ada pelbagai "door gift" seperti sekarang. Yang adalah bunga telur hasil kerjatangan sendiri ataupun "bontrot" atau "berkat" kata orang jawa.

No comments:

Post a Comment