Thursday 17 November 2016

Klang wujud 2,500 tahun lalu


KLANG dipercayai telah wujud sekitar 2,500 tahun dahulu berdasarkan penemuan artifak yang dikaitkan dengan masyarakat pada Zaman Logam. Tapak-tapak Zaman Logam yang ditemukan di Selangor termasuk di Klang kebanyakannya didakwa wujud sejak Zaman Neolitik lagi.
Namun, rentetan daripada kegiatan perdagangan yang dijalankan, di samping hubungan dengan masyarakat luar dan inovasi dalam menghasilkan alatan besi membolehkan masyarakat tempatan berevolusi daripada masyarakat Neolitik kepada masyarakat Zaman Logam.
Justeru, Klang dikatakan antara petempatan awal yang wujud di Selangor dan dipercayai muncul lebih awal daripada Melaka. Melihat catatan yang mula-mula ditulis mengenai Klang, bandar diraja itu dikatakan bermula pada Zaman Kerajaan Majapahit iaitu kira-kira 600 tahun dahulu.
Dalam pada itu, sebelum Kesultanan Selangor diasaskan, sudah ada pemerintah yang mentadbir Klang. Tun Perak yang merupakan anak kepada Bendahara Melaka, Tun Perpatih Sedang dilantik sebagai Penghulu Klang oleh Sultan Melaka, Sultan Muzaffar Shah Melaka (1446-1459) pada tahun 1446.
Selepas kejatuhan Empayar Melaka ke tangan Portugis pada 1511, kesetiaan pemerintahan jajahan Selangor beralih kepada Johor yang menyaksikan Sultan Mahmud dan pengikut setianya menubuhkan kerajaan dalam buangan di Kepulauan Bintan.
Pada zaman pemerintahan sultan pertama Johor Lama iaitu Sultan Alauddin Shah, Klang telah mempunyai pemerintah yang dikenali dengan gelaran Mandulika. Dato’ Engku Kelang kemudian dihantar ke Klang untuk mentadbir wilayah tersebut.

Sumber : Utusan Online 19 Disember 2015